jangan takut untuk meminta.
Saya hanya boleh berharap dan bekerja keras dan berharap lagi. Ada masanya saya nak putus asa kerana tiada apa lagi yang boleh saya lakukan kecuali berharap. Kadang-kadang orang yang positif juga boleh putus harapan. Tetapi setiap hari saya tetap akan datang dan cuba untuk tidak putus asa. Saya harap berita gembira minggu lepas akan tetap jadi berita gembira satu bulan dari sekarang. Sekarang, saya akan cuba sedaya upaya untuk bekerja keras dan berharap, berharap dan berharap lagi. Jika itu yang terbaik buat saya, InsyaAllah, berita gembira itu akan menjadi kenyataan yang saya idam-idamkan.
Baru-baru ini, saya selalu menangis. Jangan risau, saya bukan bersedih. Cuma kadang kala, saya terlalu gembira sehingga saya takut dengan perasaan itu. Saya bukan seorang yang alim tetapi saya suka berdoa. Selalunya, doa saya adalah supaya Allah tidak memberi saya apa yang saya tidak terdaya untuk hadapi. Kadang-kadang kita rasa seperti kita kuat. Hakikatnya, kita lemah. Terlalu banyak benda yang tak terdaya untuk kita tampung. Jadi, kita berdoa dan berharap lagi. Dan kadangkala, apabila Allah beri kita apa yang kita doakan, kita menangis gembira kerana kita memang tak cukup alim.
Saya rasa, berkat usaha dan doa ibu bapa dan semua orang yang saya sayangi, saya dikurniakan rezeki yang murah, Alhamdulillah. Kadangkala saya berfikir sama ada saya layak untuk menerima semua rezeki ini kerana saya tak baik mana pun. Tetapi, saya menerima rezeki ini dan selalu berharap saya tidak akan lupa bahawa suatu hari nanti, Allah boleh tarik rezeki kita jika kita lupa diri. Saya juga tahu jika rezeki itu tidak datang, tak bererti Allah tak sayangkan kita. Mungkin itu hanyalah dugaan buat kita supaya kita terus berdoa lagi.
Kadangkala, saya takut beberapa perkara. Minggu lepas, saya bertanya kepada salah seorang kawan saya tentang sesuatu. Menurut dia, dia tidak takut. Tetapi saya takut tentang perkara itu. Saya takut orang berubah. Saya takut keadaan membuatkan orang berubah. Perubahan adalah sesuatu yang amat sukar untuk dihadapi, lebih-lebih lagi jika kita tidak bersedia. Mungkin juga itu adalah apa yang membuatkan saya suka menangis. Dalam gembira saya ada sedikit takut.
Tapi. Jika kita sentiasa takut, bila kita nak terbang? Mungkin bagus juga saya takut. Sekurang-kurangnya, saya tak lupa untuk berdoa, kan?
Jadi, jangan takut untuk meminta. Rezeki itu ada di mana-mana. Insya Allah. Yang penting, hati mesti baik.
Comments